Seorang bekas pesakit penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) Nurazila Azren Jalani, 26, menunjukkan parut ditangannya akibat dijangkiti oleh penyakit itu dirumahnya. Selain daripada kanak-kanak, penyakit ini juga boleh dijangkiti oleh orang dewasa. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HFMD: Jangkitan naik 32 kali ganda, catat 82,846 kes hingga 4 Jun

SHAH ALAM, 7 JUN: Sebanyak 82,846 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 22/2022 pada 4 Jun, meningkat 32 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 2,485.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata berbanding dengan 30,489 kes bagi tempoh sama pada 2019, sebelum pandemik Covid-19, ia merekodkan peningkatan 1.7 kali ganda.

“Kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME 22/2022 ialah 16,954 kes, menurun 9.3 peratus berbanding ME 21/2022 iaitu 18,688 kes.

“Dalam tempoh tersebut, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi dengan 23,305 kes atau 28.13 peratus diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 9,540 kes (11.52 peratus), Perak 8,032 kes (9.70 peratus), Kelantan 5,782 kes (6.98 peratus) dan Johor 5,234 kes (6.32 peratus) manakala negeri lain kes dilaporkan sekitar atau kurang 4,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu 74,841 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 6,520 kes ( lapan peratus) manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 1,485 kes (dua peratus).

Katanya, berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia iaitu tiga virus utama yang menyebabkan penularannya dalam komuniti pada tahun ini adalah Enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

“Terdapat tiga kes dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kedua kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan masih di bawah pemantauan rapi manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah pada 31 Mei.

“Sehingga kini, 1,746 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri dengan catatan tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 562 wabak (32.2 partus) diikuti Selangor 208 wabak (11.9 peratus) dan Sarawak 206 wabak (11.8 peratus),” katanya.

Beliau menjelaskan majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,059 wabak (61 peratus diikuti rumah persendirian 605 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak 56 (tiga peratus).

“Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” katanya.


Pengarang :