Aplikasi SELangkah yang dibangunkan Kerajaan Negeri memudahkan orang ramai menyemak rekod berkaitan usaha menangani penyebaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Jumlah pengguna SELangkah kini cecah 7.9 juta 

SHAH ALAM, 7 JUN: Jumlah pengguna aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini mencecah 7.9 juta sejak ia dilancarkan pada 4 Mei 2020.

Pengarah projeknya, Dr Mohd Helmi Zakariah berkata pengguna aplikasi itu membabitkan pelbagai sumber seperti individu yang menempah vaksin, membuat pembayaran melalui e-dompet dan sebagainya.

“Sebelum ini ia digunakan bagi tujuan pengesanan kontak, namun ia terus berkembang dengan pelbagai fungsi lain seperti mental sihat, Selangor Vaksin (Selvax).

“Ketika ini 75 peratus pengunaannya adalah menerusi e-dompet, mental sihat, Selangor Saring selain masih menerima tempahan untuk vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bual Bicara: Dua Tahun SELangkah Lebih Maju yang disiarkan secara langsung di Media Selangor malam tadi.

Mohd Helmi berkata tempahan bagi melakukan ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) dan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) juga boleh dilakukan menerusi aplikasi itu.

Pada awalnya aplikasi itu diperkenal untuk pengesanan kontak bertujuan memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki mana-mana premis dengan mudah dan pantas.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi SELangkah itu di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play Store.


Pengarang :