Anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor menyerbu sebuah premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Klang pada 8 Jun 2022. Foto KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

KPDNHEP Selangor tumpaskan aktiviti seleweng diesel di Klang

SHAH ALAM, 9 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sebanyak 55,200 liter minyak diesel bersubsidi disyaki diseleweng dalam serbuan di sebuah stor di Klang dekat sini semalam.

Pengarah penguat kuasanya berkata serbuan menemui lapan unit tangki berkapasiti maksimum 20,000 liter, empat lori dan empat unit badan tangki lori termasuk peralatan lain digunakan bagi kerja pemindahan minyak diesel di premis yang beroperasi secara haram.

“Hasil pemeriksaan dan pemantauan menunjukkan terdapat aktiviti pembelian minyak diesel dari stesen minyak oleh kenderaan bermotor jenis lori serta disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan.

“Kenderaan bermotor, tangki dan peralatan ditemui disita untuk siasatan dengan nilai rampasan dianggarkan RM605,000,” kata Azman Adam dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi oleh tujuh anggota turut membawa kepada penahanan tiga lelaki warganegara berbangsa India berusia antara 25 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Rakaman percakapan untuk keperluan siasatan diambil dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Azman berkata tindakan terhadap kesalahan disyaki dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan potensi kesalahan Seksyen 21 AKB 1961, Subseksyen 20 (1) AKB 1961 dan Subseksyen 7(4) AKB 1961.

Menurutnya, sabit kesalahan mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bahagian penguat kuasa akan bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan serta subsidi demi kepentingan pengguna,” katanya.


Pengarang :