Gelagat dan Ragam Orang Melayu buku terjemahan karya Frank Swettenham terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto IBDE
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Terjemahan buku Frank Swettenham laris di pesta buku KL

SHAH ALAM, 10 JUN: Gelagat dan Ragam Orang Melayu menjadi buku terlaris di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sejak hari kedua hingga ketujuh penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Terjemahan tulisan Frank Swettenham berjudul Malay Sketches terbitan IBDE dengan kerjasama Media Selangor menarik minat pengunjung yang mahu mendapatkan gambaran pandangan pegawai kolonial British itu.

Menurut kenyataan IBDE pada 9 Jun di Facebook, penjualan buku berkenaan setakat hari ini di pesta yang berbaki tiga hari lagi mengatasi lapan judul lain.

Buku itu ialah Muhammnad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (edisi biasa), Abu Bakar as-Siddiq, Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (edisi khas) dan Melayu Agung Jose Rizal, Salahuddin al-Ayubi, Ilmu Kalam, Diari Seorang Gadis dan Penyelamat daripada Kesesatan.

IBDE yang menerima geran daripada Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre termasuk sejarah, falsafah dan agama, malah sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

PBAKL 2022 diadakan sejak 3 Jun lalu akan berakhir Ahad ini selepas penganjurannya tertangguh dua tahun akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :