Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS mampu anjur jualan murah di sebalik kenaikan harga bahan mentah

SHAH ALAM, 13 JUN: Program Intervensi Ehsan dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak Disember tahun lepas menawarkan harga murah makanan asas berbanding pasaran.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata diskaun antara 20 hingga 25 peratus membuktikan agensi terbabit memiliki kekuatan tersendiri bagi mengatasi kenaikan harga bahan mentah yang membebankan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, inisiatif berkonsepkan Jualan Prihatin Rakyat memberi peluang kepada rakyat mendapatkan produk seperti ayam, telur dan sayur dengan cara lebih mudah serta jimat.

“Misalnya ayam, setiap kali tuaian dalam masa 32 hari, kita bekalkan 500,000 ekor seterusnya dijual pada harga RM8 sekilogram. Program ini berjaya dan memberi makna cukup besar buat rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Niaga Awani berhubung Sekuriti Makanan: Siap Siaga Hadapi Krisis Buruk di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil memaklumkan tugas agensi berkenaan bukan sekadar mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya mahu meringankan beban rakyat.

“Sebab itu kita datang kepada rakyat. Kita mahu pulangkan semula keuntungan yang kita dapat kepada mereka,” katanya.

Program Intervensi Harga Makanan Ehsan dijalankan setiap hujung minggu menyasarkan 64 lokasi di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.


Pengarang :