SHAH ALAM, 13 JUN: Empat daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat dijangka dilanda hujan lebat, ribut petir serta angin kencang hingga jam 7 malam hari ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) amaran sama turut membabitkan Kuala Lumpur; Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau di Negeri Sembilan; Raub dan Bentong di Pahang serta Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
MetMalaysia turut mengeluarkan sama hingga jam 6 petang bagi Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak; Tanah Tinggi Cameron dan Rompin di Pahang; Segamat dan Mersing di Johor, Limbang di Sarawak serta Kuala Penyu, Beaufort, Papar, Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah.
Amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.