Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu bercakap kepada Media Selangor ketika sesi ziarah Perkeso di Seri Kembangan pada 13 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Perkeso Selangor bayar faedah caruman lebih RM47 juta setakat April

SERI KEMBANGAN, 13 JUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor sudah membayar faedah caruman berjumlah RM47.58 juta membabitkan 41,764 kes sejak Januari hingga akhir April lalu.

Pengarahnya Zainol Abu berkata daripada jumlah itu, sebanyak 33,425 membabitkan jangkitan Covid-19, manakala selebihnya kes kemalangan, hilang upaya kekal dan penyakit kronik.

Menurutnya, Petaling Jaya merekodkan jumlah penerima manfaat tertinggi sejak tuntutan Covid-19 diperkenal diikuti Klang, Putrajaya, Rawang dan Tanjung Karang.

“Kita ada prestasi indeks semasa (KPI) untuk melaksanakan proses bayaran kepada pencarum. Jika borang lengkap, tempoh bayaran hanya mengambil masa tujuh hari, namun kes rumit mengambil tempoh sehingga 45 hari.

“Sekarang berlaku lambakan kes Covid-19 memandangkan Selangor mencatat kes tertinggi. Jadi kita akan proses bayaran yang belum selesai,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bayaran faedah caruman di Bandar Putra Permai di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan majikan supaya membuat caruman terhadap pekerja supaya dapat dilindungi sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Jika berlaku kemalangan ke atas seseorang pekerja itu pada hari pertama bertugas, kita tetap buat bayaran faedah. Ini menunjukkan pentingnya majikan mencarum pekerja dengan Perkeso,” katanya lagi.


Pengarang :