Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Bulan Taksir Zakat Lembaga Zakat Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 23 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LZS belanja lebih RM42 juta untuk bantuan khas banjir setakat Jun

SHAH ALAM, 24 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk kira-kira RM42.152 juta bagi bantuan khas banjir kepada golongan terjejas setakat Jun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata agihan itu bagi membantu mangsa banjir besar negeri ini pada Disember tahun lalu.

“Bantuan khas banjir meliputi empat kategori iaitu sumbangan kecemasan atau bencana alam sejumlah RM28.036 juta diperuntuk kepada 46,727 mangsa dengan masing-masing menerima RM600.

“Manakala, bantuan sumbangan baik pulih pasca banjir melibatkan institusi pula kita peruntuk sejumlah RM7.5 juta kepada 150 masjid dan surau di Selangor yang terjejas akibat bah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Bulan Taksir Zakat yang disempurnakan oleh Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.

Mohd Sabirin menjelaskan LZS turut membelanjakan RM4.177 juta bagi bantuan menggantikan kelengkapan rumah yang musnah akibat bah dengan membabitkan 2,417 penerima.

“Kita turut membantu baik pulih 119 rumah asnaf yang rosak dengan peruntukan RM2.439 juta. Penerima akan menerima maksimum RM30,000 bergantung pada kerosakan.

“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa bah Disember tahun lalu,” katanya.


Pengarang :