Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah dari belakang), EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua kanan dari belakang) dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (kanan dari belakang) bersama 10 pembeli Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang pada 24 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB serah kunci kepada 10 daripada 2,059 pemilik rumah Idaman di Kajang

KAJANG, 24 JUN: Dato’ Menteri Besar menyerahkan kunci Rumah Idaman Abadi Kajang 2, Semenyih kepada 10 pembeli hari ini.

Serahan kunci secara simbolik dibuat Dato’ Seri Amirudin Shari kepada mereka iaitu sebahagian daripada 2,059 pembeli unit rumah idaman terletak di Persiaran Tropicana Heights dekat sini.

“Tahniah diucapkan kepada pemilik rumah idaman yang menerima kunci dan berharap mereka dapat mengharungi kehidupan selesa serta sempurna.

“Saya juga berharap unit kontra atau percuma diserahkan kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dapat diurus sebaik-baiknya,” katanya dalam ucapan sempena penyerahan kunci rumah berkenaan.

Dalam majlis sama, Amirudin turut melakukan simbolik penyerahan 70 unit Rumah Idaman oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada LPHS secara percuma sebagai kontra ke atas pengecualian pindaan Rumah Selangorku kepada Rumah Idaman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis penyerahan kunci Rumah Idaman kepada 10 pemilik di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang pada 24 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata fasa pertama projek dibangunkan PNSB membabitkan 1,355 unit selesai dibina awal Jun ini lengkap dengan perakuan siap (CCC).

Menurutnya, fasa kedua membabitkan 704 unit pula dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, kolam renang dan taman permainan.

Ditawarkan pada harga RM250,000, Rumah Idaman dengan keluasan 92.9 meter per segi di lokasi strategik turut dilengkapi kemudahan lain antaranya sekolah, hospital serta akses jalan.

Setiap unit mempunyai dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian.


Pengarang :