Tangkap layar pemandu yang memandu masuk ke lorong motosikal di KM 34.1 Lebuh Raya Persekutuan arah Shah Alam. Foto Ihsan Pembaca
AGENDAJENAYAH

Polis buru individu pandu kereta di lorong motosikal lebuh raya persekutuan

SHAH ALAM, 30 JUN: Polis sedang memburu pemandu kereta Honda City yang didapati memandu di lorong motosikal di Kilometer (KM) 34.1 Lebuh Raya Persekutuan arah Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebaik sahaja pihaknya menerima laporan.

Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kereta terbabit mempunyai nombor pendaftaran VAG 8183.

“Kejadian itu tidak membabitkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Namun, pihak polis meminta pemilik atau pemandu kereta dan mana-mana saksi tampil membantu siasatan,” lapor portal Harian Metro.

Katanya, mereka boleh ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Ahmad Termizi Abdul Halim di talian 0133752511.


Pengarang :