SHAH ALAM, 30 JUN: Permohonan syarikat pemula untuk menyertai Program Pemecut Selangor (SAP) menunjukkan peningkatan sebanyak 36.4 peratus.
EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata sejumlah 225 permohonan diterima pada tahun ini berbanding 165 tahun lalu.
“Ini menunjukkan semakin banyak syarikat pemula bersemangat mahu mengembangkan perniagaan mereka dengan bantuan dan bimbingan daripada Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
“Malah, banyak syarikat pemula yang mengikuti program sudah berjaya dan saya percaya perkara ini tersebar membuatkan semakin ramai mahu menjadi sebahagian daripada peserta SAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemecut Selangor kohort kelima di Pusat Digital Kreatif Selangor (SDCC) i-City, Shah Alam di sini hari ini.
Menurut Chang Khim, seramai 120 usahawan e-dagang berjaya dilahirkan menerusi SAP sejak diperkenalkan pada 2018.
“Peningkatan ini jelas menunjukkan kepakaran Sidec menganjurkan program dengan pelbagai tema menarik seperti tahun ini bertemakan ‘Sifar Bersih, Kelestarian dan Ekonomi Pekeliling’.
“Ia merupakan satu isu hangat yang sedang dibincangkan seluruh dunia, saya yakin dengan adanya syarikat pemula kita boleh mencari penyelesaian kepada masalah tersebut,” katanya.
Terdapat lima bidang utama dalam program SAP meliputi teknologi kesihatan, teknologi kewangan, bandar pintar, teknologi hijau dan teknologi pertanian.
Ia merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan memberi persediaan 30 syarikat pemula dalam menerima pelaburan.