Pemain perseorangan lelaki Malaysia Lee Zii Jia menentang lawannya Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia pada perlawanan pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Terbuka Malaysia: Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Malaysia 2022, selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung dengan sokongan padu lebih 5,000 penyokong di Axiata Arena, Zii Jia selaku pemain di ranking kelima dunia terdahulu dilaungkan amaran awal apabila tewas 19-21 kepada pemain berusia 28 tahun itu pada set pertama.

Zii Jia, 24, bangkit pada set kedua menerusi kemenangan 21-19, namun kecundang 16-21 pada set penentuan selepas pertarungan melebihi sejam.

Kemenangan itu turut membantu Rhustavito menyamakan rekod pertemuan dengan juara All England 2021 itu kepada 4-4, dengan kemenangan terakhirnya pada Terbuka Taiwan 2019, manakala pertemuan di Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand tahun ini berpihak kepada pemain Malaysia.

Kekalahan itu juga menyaksikan penyokong badminton tanah air terlepas peluang menonton pertembungan suku akhir epik di antara Zii Jia dan Kento Momota esok (Jumaat).

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Zii Jia berkata Rhustavito sememangnya seorang lawan yang sukar buat beliau berdasarkan prestasi yang dipamerkan pada pertemuan sebelum ini.

“Saya rasa hari ini memang beliau beraksi dengan bagus sekali. Tiada kesalan bagi saya, sebaik saya memutuskan untuk bertanding dalam kejohanan, saya memang akan bermain sepenuhnya, kalau ini keputusannya, saya kena terima kerana memang banyak lagi (dari segi prestasi) yang tak cukup.

“Saya rasa setiap perlawanan memang ada menang atau kalah, jadi perlawanan ini saya rasa tidak menjejaskan keyakinan saya (untuk Kejohanan Dunia). Saya tahu tahap saya, cuma bagaimana saya hendak kekalkan tahap itu,” katanya.

Penyingkiran Zii Jia bermakna cabaran Malaysia di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 750 itu berakhir, apabila dua wakil lain – Ng Tze Yong dan Liew Daren terkandas seawal pusingan pertama.

Kali terakhir wakil negara muncul juara Terbuka Malaysia adalah pada edisi 2018, apabila Datuk Lee Chong Wei menewaskan Momota pada final, manakala legenda China Lin Dan menjuarai edisi 2019 selepas mengatasi rakan senegara Chen Long. Dua edisi seterusnya dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Sementara itu, Rhustavito yang bersyukur dengan kemenangan itu, berasa Zii Jia telah memberikan tentangan yang sengit, namun beberapa kesilapan lawannya pada set ketiga membantunya meraih kemenangan.

“Tidak mudah untuk mengatasi pemain tuan rumah dengan sorakan penyokong yang banyak di sini. Namun, saya fokus pada perlawanan sendiri, tidak terlalu memikir beliau bermain dengan penyokong sebanyak ini, kalau fikir itu akan menjadi tekanan buat saya,” katanya.

Satu lagi aksi pusingan kedua menyaksikan pemain nombor dua dunia Momota bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long 11-21, 21-8, 21-18 dan mara ke pusingan lapan terakhir.

– BERNAMA


Pengarang :