Keadaan air berwarna merah di Sungai Chandong, Klang, lewat petang 29 Jun 2022 (sebelah kiri) dan kembali normal berikutan air pasang. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Lori tangki dengan sisa buangan punca Sungai Chandong bertukar merah

SHAH ALAM, 6 JULAI: Misteri kejadian Sungai Chandong bertukar merah pada hujung bulan lalu terjawab selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menahan sebuah lori tangki di Pelabuhan Klang semalam.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata lori terbabit dijumpai di pusat pengumpulan buangan terjadual haram menerusi serbuan bersama Majlis Perbandaran Klang yang dijalankan dari 6.30 petang hingga 10 malam.

“Lori itu disyaki membuang sisa cat dan pigmen berwarna merah ke Sungai Chandong. Ada kesan sisa buangan berwarna merah pada penutup bahagian atas lori tangki.

“Dengan penemuan ini, JAS percaya misteri pencemaran Sungai Chandong hampir terjawab. Dalam serbuan itu kami turut temui 100 tong berisi buangan cat, dakwat, asid terpakai dan minyak hitam terpakai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata pihaknya menghantar beberapa sampel buangan ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B, 34A, Seksyen 18 dan Sekysen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sejak Sungai Chandong didapati berwarna merah pada 29 Jun, sebanyak 14 premis sekitar Shah Alam dan Klang diperiksa namun tiada kegiatan mencurigakan dikesan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan air Sungai Chandong bertukar merah dipercayai tercemar angkara perbuatan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, warna sungai kembali normal susulan air pasang yang berlaku pada hari sama.

 

 


Pengarang :