Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir ditemu bual Selangorkini di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 30 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Mitos mustajab doa temu jodoh di Jabal Rahmah

Jabal Rahmah, satu daripada lokasi popular ziarah jemaah haji kerana ia sebahagian daripada padang Arafah yang menjadi tempat wukuf pada setiap 9 Zulhijah saban tahun. Bagaimanapun, ada kepercayaan dalam kalangan umat Islam di negara ini kononnya Jabal Rahmah lokasi mustajab berdoa supaya bertemu jodoh. Wartawan Nadiah Zamlus mendapatkan penjelasan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir mengenai persoalan itu dalam temu bual pada 30 Jun.

Boleh ceritakan tempat tertentu di Makkah dan Madinah di Arab Saudi yang mustajab berdoa?

Makkah dan Madinah tempat istimewa bagi orang Islam. Ia menjadi tempat untuk kita menunaikan ibadah umrah dan haji. Berkaitan dengan doa di tempat mustajab jika merujuk kepada dalil al-Quran dan hadis, memang ada beberapa tempat. Bagi Makkah, pertamanya, multazam iaitu kedudukannya antara sudut Hajar Aswad dan pintu Kaabah. Mungkin kita biasa tengok gambar orang pegang pintu Kaabah, mereka meletakkan tangan di situ, itulah multazam. Kedua tempat mustajab doa adalah Hijir Ismail, kalau perasan tempat lekuk macam hemisfera di Kaabah yang atasnya ada pancuran emas, itu termasuk binaan Kaabah. Sebab itulah apabila kita bertawaf dan syarat sah tawaf tidak boleh potong Hijir Ismail.

Aishah RA (isteri Nabi Muhammad SAW) pernah menyatakan hasrat untuk solat dalam Kaabah. Maka Rasulullah bersabda “Solat di sini, sesungguhnya ia (Hijir Ismail) adalah sebahagian Kabaah”. Terakhir ialah Safa dan Marwah, tempat kita bersai. Oleh itu disunatkan bila sampai di bukit Safa, menghadaplah kiblat dan panjatkan doa kepada Allah. Sementara itu, bagi lokasi mustajab doa di Madinah pula, tempatnya sebahagian adalah Raudah, dalam Masjid Nabawi. Tapi saya harap kalau kita sudah berdoa dalamnya, cukup lima minit, bagi orang lain pula. Kedua, mihrab Rasulullah SAW, kerana ia dikaitkan dengan Raudah juga.

Hukum berkunjung ke tempat mustajab berdoa ini?

Hukumnya harus dan memang tidak salah, doa itu tandanya seseorang berusaha. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW “Janganlah kalian bersungguh-sungguh melakukan perjalanan kecuali ke tiga masjid iaitu Masjidil Haram (Makkah), masjidku (Masjid Nabawi Madinah) dan Masjid Al-Aqsa (Palestin)”. Jadi perkara ini tidak salah, malah sangat disuruh pergi ke tempat-tempat berkenaan.

Salah satu tempat popular adalah Jabal Rahmah. Ramai mengaitkannya sebagai tempat berdoa supaya bertemu jodoh. Boleh jelaskan?

Jabal Rahmah terletak di Gunung Arafah. Ia bukit batu granit di timur Makkah. Turut dikenali sebagai Gunung Rahmat (Jabal al-Rahmah). Tingginya kira-kira 70 meter. Mengikut sejarah, ia berkaitan tempat pertemuan Nabi Adam AS dan isterinya Hawa selepas keduanya keluar dari syurga. Waktu itu mereka digoda syaitan sehingga dikeluarkan kedua-duanya turun ke bumi. Namun ketika itu Nabi Adam dan Hawa terpisah, tetapi Jabal Rahmah menjadi tempat pertemuan semula mereka. Ada juga ulama mengatakan, lokasi itu berkait rapat dengan mimpi Nabi Ibrahim AS menyembelih putera baginda, Nabi Ismail AS. Sejarah ketiga pula dikaitkan dengan turunnya wahyu terakhir Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah di Jabal Rahmah, ketika Rasulullah wukuf di Arafah.

Tiada nas atau dalil khusus mengatakan kalau hendak dapat jodoh kena panjatkan doa di Jabal Rahmah. Hendak doa jodoh, rezeki, kesihatan atau kerja boleh pergi ke tempat mustajab doa seperti kita sebut awal tadi. Tetapi jika tidak ke sana pun kita ada waktu mustajab berdoa. Tiada kaitan dengan tempat, ia hanya masa.

Contohnya sewaktu khatib duduk antara dua khutbah Jumaat, pada waktu itu mustajab doa, jangan lepaskan peluang. Juga berdoa pada petang Jumaat. Termasuk berdoa antara azan dan iqamat. Tentang Jabal Rahmah ini memang tiada dalil khusus. Namun, adakah kita hendak larang? Tidak boleh, sebab semua tempat, di mana-mana pun boleh berdoa. Apalagi di Makkah tempat turun wahyu. Tiada masalah, cuma jika kita beriktikad iaitu simpan keyakinan dalam hati bahawa kalau doa hendak dapat jodoh mesti ke Jabal Rahmah, itu sudah silap. Kalau sekadar doa, kita tiada larangan, jangan iktikad sahaja.

Arafat Jabal

Ada yang taasub berdoa minta jodoh di Jabal Rahmah. Apakah hukumnya?

Taasub ini dikaitkan dengan perkara negatif dan biasanya membawa kepada perkara tidak baik. Cuma apabila berdoa ini kita kena yakin, doa sahaja di mana-mana tapi kena yakin Allah makbulkan, jika Allah tak makbul mungkin dapat rezeki lain lebih baik sesuai dengan kita. Bila Allah tidak bagi, kita kena percaya mungkin perkara itu akan datangkan mudarat. Oleh itu, taasub kepada Jabal Rahmah dalam erti kata mempercayai terdapat fadilat khusus dan amalan khusus boleh merosakkan akidah. Umat Islam seharusnya lebih bersederhana dalam perkara ini tanpa berlebih-lebihan.

Amalan yang patut dilakukan ketika di Jabal Rahmah?

Tiada amalan khusus disyariatkan ketika berkunjung ke Jabal Rahmah. Melainkan sekiranya hadir ke situ ketika hari wukuf di Arafah dengan niat mengerjakan haji maka seseorang itu sudah terikat dengan hukum-hakam berkaitan haji. Perbanyak berdoa ketika berwukuf. Berzikir, baca al-Quran dan kurangkan sembang dengan orang lain. Fokusnya ibadah.

Ada amalan karut dilakukan umat Islam ketika berada di situ yang Dato’ boleh ceritakan?

Berdasarkan kenyataan pengarah operasi Tabung Haji pada 2015, ada jemaah cuba melakukan perbuatan melanggar akidah ketika di sana. Ia termasuk solat di atas Jabal Rahmah sambil menghadap tugu. Macam mana boleh solat hadap tugu sedangkan solat patut menghadap Kaabah? Ada juga mengambil batu di situ kononnya untuk azimat. Ketiga, mengucup dan menulis atas batu dengan keyakinan bahawa batu atas Jabal Rahmah ada kuasa. Seterusnya meletakkan kepercayaan berdoa atas bukit itu adalah mustajab sedangkan berdoa di mana-mana tempat pun boleh. Begitu juga percaya doa mendapat jodoh paling mustajab adalah di situ.

Sebahagian jemaah berasa harus berkunjung ke Jabal Rahmah dan bersolat di atasnya. Pandangan dalam mendatangi tempat ini?

Berkunjung ke sana termasuk dalam perkara harus. Kerana tiada suruhan mahupun larangan yang jelas di dalam syarak tentang hukum ke Jabal Rahmah. Manakala bersolat di atas Jabal Rahmah merupakan perkara tidak digalakkan kerana tiada fadilat khusus berkaitan perkara tersebut. Namun kunjungan ke sana wajib disertai niat dan amalan yang tidak bertentang syarak seperti niat berkunjung untuk melihat keesaan Allah. Mengambil pengajaran daripada kisah bersejarah yang ada kaitan dengan tempat kita lawati dan sentiasa memuji kebesaran Allah SWT ketika mengimbau kembali sejarah berkenaan.


Pengarang :