Camp Out adalah pengalaman perkhemahan berkonsepkan glamping pertama di Sunway Lagoon dilengkapi makan malam barbeku dan ruang kolam renang peribadi. Foto Tourism Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Berkhemah penuh gaya di lapan lokasi dengan suasana hijau

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 12 JULAI: Selangor sangat terkenal dengan destinasi pelancongan berkonsepkan eko dan
pemandangan alam semula jadi yang cantik serta menakjubkan.

Perkhemahan mewah atau penuh gaya (glamping) merupakan satu salah satu aliran pelancongan yang mendapat perhatian ramai kerana dirasakan lebih selesa.

Kebiasaanya, glamping menyediakan kemudahan tambahan seperti set tilam, kipas, lampu, dan dekorasi dalaman yang menarik sambil membuat aktiviti meredah kehijauan alam.

Berikut senarai lapan lokasi menarik untuk berkhemah yang patut dikunjungi di Selangor:

Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Terdapat hutan yang hijau dan luas di sekitar Resort Taman Eko Rimba Komanwel, menjadikannya taman resort yang indah. Tempat ini menyediakan percutian yang sempurna untuk hujung minggu yang santai. Jika anda dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rawang, singgahlah di Taman Hutan Komanwel, yang terletak betul-betul bersebelahan laluan utama. Seperti namanya, Taman Eko Rimba Komanwel menggabungkan hutan tebal dengan taman yang indah, tasik dan pelbagai ciri lain untuk menyediakan pelancong dengan suasana yang indah dalam hutan. Jika anda ingin pergi berkhemah pada hujung minggu, anda harus menempah tapak perkhemahan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal. Boleh dikatakan bahawa tapak perkhemahan di tepi tasik adalah pilihan utama oleh pelancong di sini.
Hutan yang indah dan menghijau menyelubungi taman. Laluan mendaki juga boleh diakses oleh semua orang dari semua peringkat umur.

River & Glamp, Batu Caves

The River & Glamp di Gombak ini terletak kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur dan 15 minit dari Batu Caves. Lokasi glamping ini yang cantik ini sudah pasti akan menyerlahkan ciri-ciri terbaik alam semula jadi untuk pelancong. Untuk memenuhi permintaan, pakej yang disediakan termasuk tiga hidangan iaitu, sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, semuanya disajikan dalam suasana gaya glamping.

Dusun Bonda, Batang Kali

Dusun Bonda yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor yang mulanya merupakan sebuah vila kecil milik orang persendirian. Disini kini terdapat juga tapak Glamping dan perkhemahan yang disusun di dalam dusun buah-buahan untuk kita menginap. Hal ini dapat menyediakan penginapan yang santai dalam suasana yang indah kepada para tetamu yang datang. Dusun Bonda juga menyediakan kemudahan yang mesra untuk kanak-kanak seperti air terjun dan kolam buatan. Keindahan kawasan dan susunan aktiviti pengalaman yang menarik untuk glamping menjadi keutamaan kepada Dusun Bonda kepada tetamu mereka.

Skycamp By Rimba Segara, Hulu Langat

Skycamp by Rimba Segara merupakan tarikan terbaru terletak di kawasan Hulu Langat. Pengalaman glamping di sini dapat merasai suasana yang indah dengan sungai dan air terjun di tengah-tengah kebun tropika dan hutan di daerah Hulu Langat. Kawasan ini juga mempunyai gerai makanan dan kedai buah-buahan yang menarik di sepanjang jalan. Para penginap glamping juga boleh membawa makanan sendiri untuk dimasak. Kemudahan seperti peti sejuk dan semua peralatan memasak, termasuk gas juga disediakan. Kawasan Glamping ini diuruskan dengan kepekaan dan mesra alam sekitar. Penggunaan plastik dan styrofoam adalah dihadkan.

The Sticks, Kuala Kubu Bharu

The Sticks merupakan resort eko yang terletak di dalam Kawasan hutan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Ianya dibina di atas tapak bekas lombong bijih timah dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar. Resort ini menjana tenaga elektrik melalui tenaga suria dan memperoleh punca air daripada aliran tempatan serta dibangunkan dengan konsep mesra alam. Tetamu dapat meluangkan masa di ruang penginapan di dalam hutan yang dilengkapi dengan katil yang selesa, selimut mewah, kipas siling dan pemanas air. Kesemua tempat penginapan dalam 12 rumah adalah unik yang dipanggil sebagai “tendok”. Tendok merupakan gabungan perkataan antara khemah dan pondok. The Sticks direka untuk memastikan pengalaman penginapan yang baik kepada alam semula jadi dan mengutamakan
keselesaan. Tetamu boleh berehat dan menikmati alam sekitar sambil bersantai di buaian, berenang dan terapung di sepanjang sungai, atau menjamu selera dengan hidangan lazat yang dimasak sendiri untuk memastikan keselesaan semasa penginapan mereka.

The Hid3out, Batu Caves

The Hid3out terletak di Sungai Tua, Batu Caves Selangor. Glamping di The Hid3out ialah cara
terbaik untuk merasai aktiviti perkhemahan dengan lebih menarik. Para pengunjung tidak perlu
risau dari segi kemudahan kerana di sini terdapat kelengkapan glamping yang telah disediakan. Antaranya seperti tilam, tandas dan lain-lain perkhidmatan. Pengunjung juga boleh menggunakan ruang BBQ untuk menyediakan makanan dan menikmati penginapan mereka dengan baik.

Alpine Camp, Hulu Langat

Siapa kata anda tidak boleh menikmati keindahan semula jadi semasa walaupun berada di kawasan berdekatan dengan bandar? Alpine Camp menyediakan pengalaman glamping dengan suasana alam semula jadi yang berlatar belakangkan Sungai Lui dan Gunung Hitam. Terdapat lima khemah glamping disediakan, setiap satunya boleh memuatkan sehingga empat orang. Alpine Camp juga mempunyai surau dan dewan makan untuk kemudahan pengunjung. Pengunjung juga dapat menikmati keindahan sungai berdekatan dan ianya selamat untuk kanak-kanak.

Camp Out, Sunway Lagoon

Camp Out adalah pengalaman perkhemahan yang berkonsepkan glamping pertama di Sunway Lagoon. Ia juga glamping yang pertama yang terletak di taman tema. Camp Out, Sunway Lagoon akan memberikan mengalaman taman tema terbaik mereka dari pagi hingga ke malam. Pengalaman ini merupakan versi yang lebih baik daripada aktiviti perkhemahan yang biasa kita lakukan. Ia lengkap dengan makan malam barbeku, ruang kolam renang peribadi dan peluang untuk tidur di tengah-tengah taman tema Sunway Lagoon! Sudah pasti ia akan menjadi malam terbaik dalam hidup anda.


Pengarang :