Peserta mendengar taklimat disampaikan ketika Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di Bukit Raja, Klang pada 22 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Program usahawan digital di DUN Permatang sasar penyertaan 200 usahawan

SHAH ALAM, 12 JULAI: Jelajah Usahawan Digital Selangor menyasarkan penyertaan 200 peniaga sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dalam program pada 6 Ogos depan.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) itu mendedahkan peserta strategi menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan dalam talian.

“Jelajah ini membawakan pemain utama seperti Lazada, Shopee dan J&T untuk membuka minda peniaga supaya menambah ruang sedia ada daripada perniagaan berbentuk fizikal kepada dalam talian.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada usahawan mendapat jualan lebih banyak berbanding sebelum ini,” kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau mengakui masih ramai peniaga belum beralih kepada perniagaan digital walaupun pelbagai platform tersedia ketika ini.

“Dalam pertemuan dengan Sidec, saya dimaklumkan bahawa 50 peratus usahawan masih belum terdedah dengan perniagaan secara digital iaitu berdasarkan beberapa siri jelajah di DUN dan daerah lain sebelum ini.

“Peratusan itu agak besar, jadi kita perlu beri kesedaran supaya peniaga dapat mengubah strategi perniagaan dan ia tidak bermakna mereka perlu menghentikan perniagaan secara fizikal, sebaliknya menambah satu lagi sektor iaitu dalam talian,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2020, jelajah usahawan digital akan berkunjung ke semua daerah sehingga September ini.

Program adalah instrumen penting bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan rakan kerja seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.


Pengarang :