Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini bercakap kepada media selepas program Korban Perdana LZS 2022 di Kompleks Bait Al-Hasanah Perepat, Klang pada 13 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Zakat Selangor: 600 keluarga berjaya keluar daripada senarai asnaf tahun ini

KLANG, 13 JULAI: Kira-kira 600 keluarga berjaya keluar daripada senarai asnaf dalam tempoh Januari sehingga Jun lalu, kata ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor.

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata faktor yang membuatkan mereka keluar daripada status itu adalah kerana pendapatan mereka melebihi had kifayah dan bantuan zakat yang diterima sebelum ini.

“Setiap tahun memang akan ada asnaf mendaftar keluar dan juga menerima permohonan baharu. Pada tahun ini, kita jangka permohonan asnaf meningkat sebanyak enam peratus.

“Setakat ini jumlah terkini golongan asnaf ialah sebanyak 65,000 dan menerima pelbagai bantuan mengikut keperluan mereka,” katanya ditemui pada Program Korban Perdana 2022 di Bait Al-Hasanah hari ini.

Pada masa sama, Mohd Sabirin turut memaklumkan pihaknya sedang menjalankan kajian untuk menaikkan elaun asnaf mengikut kadar had kifayah.

“Kajian sedang dilaksanakan dan kita akan melihat secara keseluruhan mengikut faktor sementara atau berterusan.

“Bagaimanapun, sebelum ketetapan dibuat, kita masih menyalurkan bantuan mengikut keperluan asnaf,” katanya.

Pada Julai tahun lalu LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta menjayakan program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan bagi memanfaatkan hampir 60,000 penerima serta lebih 400 institusi.


Pengarang :