Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) membantu wanita memulakan perniagaan dengan mudah, cepat dan tidak membebankan. Foto Facebook Hijrah Selangor
AGENSISELANGOR

Wanita mahu niaga disaran mohon NaDI, tawar pembiayaan sehingga RM5,000

SHAH ALAM, 14 JULAI: Golongan wanita yang berhasrat memulakan perniagaan kecil-kecilan disaran memohon skim pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NaDI).

Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata pihaknya menyasarkan 1,722 pemohonan skim berkenaan sepanjang tahun ini dengan jumlah pembiayaan RM8.61 juta.

Permohonan pembiayaan RM1,000 hingga RM5,000 boleh dilakukan secara dalam talian menerusi http://mikrokredit.selangor.gov.my/e-hijrah/login atau menghubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangannya.

“Skim ini terbuka kepada wanita yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan penyaluran modal pusingan perniagaan yang mudah, cepat dan tidak membebankan,” katanya di Facebook.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Kerajaan Negeri memperuntuk RM120 juta untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu bawah Hijrah yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.

Selain NaDi, Hijrah turut menawarkan Zero to Hero, Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bisnes dan i-Bermusim yang kesemuanya berfungsi memperkasa usahawan negeri.

Skim pembiayaan berkenaan selari dengan hasrat negeri yang mahu ramai rakyat memiliki wang tambahan untuk menyara hidup.

 


Pengarang :