Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Pakar Sri Kota Tan Suet Guan memeterai memorandum perjanjian (MoA) di kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 8 Julai 2022. Foto Facebook Naib Canselor Unisel
AGENSISELANGOR

Pusat perubatan swasta taja pelajar Unisel RM550 sebulan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Penuntut diploma kejururawatan Universiti Selangor (Unisel) menerima tajaan biasiswa khas dan elaun sara hidup RM550 sebulan daripada Pusat Perubatan Pakar Sri Kota (Sri Kota).

Selain menerima uniform, asrama dan peralatan kejururawatan percuma sepanjang pegajian, pelajar bawah biasiswa ini berpeluang menjalani latihan industri di pusat perubatan berkenaan.

Perkara itu dicapai menerusi memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai kedua-dua pihak di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 8 Julai.

Dalam majlis itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menandatangani MoA bagi pihak Unisel manakala Ketua Pegawai Eksekutif Sri Kota Tan Suet Guan bagi pihak Sri Kota.

Dr Mohammad Redzuan berkata inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan pelajar dalam kalangan B40 dan M40 melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Kesihatan.

Beliau juga yakin kerjasama itu dapat meningkatkan lagi kualiti graduan serta membuka ruang lebih luas kepada calon-calon lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian dalam berkenaan di Unisel.

“Setinggi-tinggi perhargaan buat Sri kota kerana menaja pelajar diploma kejururawatan Unisel sejak semester November 2021.

“Melalui biasiswa penuh ini, pelajar Diploma Kejururawatan Unisel mendapat jaminan pekerjaan setelah menamatkan pengajian,” katanya di Facebook baru-baru ini.

 

 


Pengarang :