Tempahan buku secara dalam talian BooksFly2U oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor iaitu khidmat penghantaran terus ke lokasi peminjam. Gambar dirakamkan di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam pada 10 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PPAS: Khidmat pinjam buku Booksfly2U dicontohi perpustakaan Singapura

PETALING JAYA, 15 JULAI: Perkhidmatan Booksfly2U yang diperkenalkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sejak dua tahun lalu dicontohi Perpustakaan Negara Singapura.

Pengarah PPAS berkata pihaknya difahamkan pusat sumber di republik itu mula menawarkan khidmat tempahan pinjaman buku kepada pengguna secara e-panggilan beberapa bulan lepas.

“Sebelum ini kita berkongsi konsep yang diguna pakai dalam perkhidmatan ini. Kita memang tidak bangunkan apa-apa aplikasi selain tiada perbelanjaan dikeluarkan, sebaliknya (menggunakan) tenaga manusia.

“Mereka tertarik dan sudah melaksanakan perkhidmatan ini kepada rakyat di sana. Mereka juga akan melawat perpustakaan desa yang ada di Selangor pada September depan,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam sempena sambutan jubli emas PPAS dan pemukiman sasterawan di Hotel Le’Meridien di sini, malam tadi.

Beliau berkata jumlah pengguna perkhidmatan Booksfly2U dijangka meningkat kepada 8,000 menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini lebih 4,000 pengguna direkodkan dan kita akan mempergiat publisiti bagi mencapai sasaran. Perkhidmatan ini sangat mudah, apatah lagi pengguna boleh memilih sama ada mahu dihantar atau mengambil sendiri buku di perpustakaan,” katanya.

Khidmat pinjaman buku BooksFly2U dilancar pada 16 Julai 2020 selepas mengambil kira keperluan masyarakat yang mahu mengakses bahan bacaan fizikal dari perpustakaan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mengatur penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.


Pengarang :