Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama pimpinan dan perwakilan ketika Kongres Wanita sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 15 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada lagi kabilah dalam Wanita, AMK tekad satu hati hadapi PRU15

SHAH ALAM, 16 JULAI: Tiada lagi kem atau kabilah dalam sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), sebaliknya tekad perpadu tenaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Demikian Tegas Ketua Wanita KEADILAN yang baharu Senator Fadhlina Sidek dalam ucapan penutup Kongres Wanita KEADILAN di IDCC di sini, semalam.

“Saya mohon kepada semua untuk kami diberi mandat yang tidak berbelah bahagi. Sebagaimana disebutkan oleh Fuziah Salleh ini bukan pasukan ‘Wanita Perlu Lagi’ atau ‘Wanita Nadi Keadilan’. Ini adalah ‘sewanita’,” katanya seperti dilapor Suara Keadilan.

“Ini adalah pasukan yang akan merempuh PRU 15 akan datang. Jadi saya mohon puan puan berikan sepenuh sokongan kepada mereka.

“Terimalah ini pasukan yang terbaik untuk wanita dalam tempoh 3 tahun akan datang,” ucapnya yang memulakan kempimpinan sayap wanita parti, mengambil tampuk daripada Ketua Wanita yang dilantik Fuziah Salleh, sebelum ini.

Terdahulu, Kongres Wanita sempena Kongres Nasional Ke-16 KEADILAN dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihatnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berlangsung selama tiga hari, kongres  bertema ‘Menjulang Keadilan’ menerima kehadiran penuh, selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.

Kongres selama tiga hari memulakan persidangan hari ini dengan kehadiran penuh, selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN yang baharu Adam Adli Abd Halim menuntut peranan semua anggota bersatu hati menggalas perjuangan memastikan KEADILAN terus cemerlang dalam PRU15.

“Hari ini kita bukan lagi ‘Seangkatan’, bukan lagi ‘Ayuh Anak Muda’. Hari ini kita AMK. Panjang umur perjuangan dan reformasi buat kita semua,” kata Adam dalam ucapan penutup Kongres AMK, malam tadi.

Bertekad untuk memimpin AMK sebaik mungkin, Adam turut berterima kasih kepada kepimpinan Ketua AMK sebelumnya, Akmal Nasir.

“Sebagai salah seorang terpilih mengemudi AMK, saya tidak mahu mengikat diri dengan terlalu banyak janji yang entah kalau tidak berhati hati, risau dimungkiri.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk memimpin dengan adil dan saksama,” katanya.


Pengarang :