Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (depan,tengah) bergambar bersama pemimpin Orang Asli selepas majlis penyerahan sijil penghargaan di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jaga kebajikan Orang Asli, negeri belanja lebih RM400,000 tahun lepas

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM400,000 untuk menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli pada tahun lepas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keseluruhan bantuan tersebut merangkumi kesejahteraan hidup, pendidikan serta bantuan keluarga.

“Dana disalur kepada penganjuran program gotong-royong, menaik taraf kemudahan asas dan juga projek kecil yang lain.

“Program pendidikan juga dilaksanakan di beberapa kampung dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia,” katanya di Facebook.

Amirudin berkata ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bantuan bakul makanan turut diagih kepada ketua keluarga.

Selain itu, beliau memaklumkan peruntukan khusus juga disediakan bagi pelaksanaan kerja ukur dan pewartaan tanah.

“Setakat ini, sebanyak 29 perkampungan Orang Asli Selangor yang melibatkan keluasan 1,672.67 hektar telah diwartakan.

“Kerajaan Negeri komited menjaga kebajikan komuniti Orang Asli di samping mengangkat nilai serta maruah mereka. Perancangan serta usaha terus digandakan sesuai dengan pendekatan inklusif kepimpinan negeri,” katanya.


Pengarang :