BUDAYARENCANA

Pembidaah kritikan sastera

Oleh Syuhada Salleh

Melangkaui dunia kesusasteraan di negara ini tidak dapat tidak, perlu diakuri ia turut melibatkan dunia pembukuan. Meski dunia pembukuan tidak pula semestinya melibatkan ilmu kesusasteraan. Moga perbincangan dalam entri ini tidaklah membangkitkan kekeliruan pembaca yang bukan dalam kelompok kesusasteraan. Memasuki bidang sastera akan menemukan kita kepada beberapa fasa; yang pertamanya, kita merupakan pembaca tegar, bergelumang dalam bahan bacaan ringan hinggalah ke bahan bacaan lebih mencabar minda justeru menggugah pemikiran. Ya, dalam hal pemilihan bahan bacaan ini ada pula bermacam-macam gaya orang; ada yang gemar statik pada tahapan yang sama tanpa tercambah perkembangannya. Dan pasti ada (mungkin juga ramai) pembaca yang pemilihan bahan bacaan memaju dan sepatutnya ia setara dengan aras pemikiran yang membidik ke puncak.

Fasa kedua pula, (tidaklah merangkumkan kesemua ‘golongan pembaca’ tapi ia pasti dalam kelompoknya) iaitu menjadi seorang penulis. Penulis yang wajarnya bersinonim dengan seorang pemikir. Mana mungkin boleh dipisahkan kedudukan seorang penulis dari landasan seorang pemikir. Supaya penulis bukanlah ‘tin kosong’ yang bingit tanpa apa-apa sumbangan atau dengan kata lain ‘sekadar meluah isi pemikiran dangkal’, penulis wajib masuk kategori pemikir. Sengaja diulang konotasi ‘penulis adalah pemikir’ supaya dunia penulisan, pembukuan dan penerbitan negara kita makin marak sebagai golongan ideologis, akademikus, cendikiawan, berintelektual dan ahli fikir yang berupaya menyumbang kepada pembangunan jiwa. Dalam fasa kedua inilah peranan penting dimainkan oleh para penulis supaya yang dihebahkan dalam sesebuah karya dimaknai dengan ilmu, sama ada lahiriah mahupun batiniah.

Dan berbicara soal kesusasteraan, sama ada sastera Melayu mahupun sastera luar, penulis yang dimaksudkan dalam perbincangan ini adalah pengkarya bagi genre sastera; yang mana merangkumi wacana, esei atau pengkajian tentang sastera melibatkan pensejarahan dan seumpamanya, mahupun karya-karya yang masuk dalam kategori genre sastera itu sendiri seperti novel, prosa, cerpen, puisi moden iaitu sajak dan puisi tradisional yang merangkumi pantun, syair, gurindam dan sebagainya. Dalam Kesusasteraan Melayu ini pula, ada dua penggolongan iaitu sastera moden; misalnya cerpen, dan sestera tradisional; misalnya prosa. Jika ditanya, ‘apa perbezaan antara ‘prosa’ dengan ‘cerpen’?’ sedangkan bentuk kedua-duanya merupakan cerita pendek, jawapannya adalah; prosa merupakan karya dahulukala, lagi tradisional strukturnya yang ditandai dengan latar belakang penceritaan dan laras bahasa klasik. Berbeza pula dengan cerpen yang masuk kategori sastera moden dengan ditandai laras bahasa sastera/fiksyen moden dan dari segi isi ceritanya agak bebas.

Memasuki fasa ketiga, lahirlah pula para pengkritik karya iaitu sebagai cara meluahkan, memberi cadangan, memperbaiki atau apa sahaja konotasi yang sesuai bagi sesuatu lisan mahupun penulisan ‘kritikan sastera’. Segala kritikan dihujah dengan telus melalui pendekatan yang sesuai. Memasuki fasa ini, sudah semestinya tahap penguasaan ilmu seorang pengkritik lebih ke hadapan berbanding dengan seorang penulis atau digelar pemikir tadi. Oh, perlu diperjelaskan di sini, tidak semua penulis wajib masuki fasa ini dan tidak wajib juga bagi seorang pengkritik untuk jadi seorang penulis. Namun, seyogianya seorang pengkritik wajib jadi pemikir, pengkaji, penguasa ilmu kesusasteraan atau pengkaryaan dan punyai kredibiliti yang dibuktikan melalui pengiktirafan pendidikan, atau dengan keberjayaan menzahirkan prestasi diri dalam mengutarakan buah fikiran bernas. Mungkin pendapat ini bunyinya peribadi, tapi sentiasa diingati jelas akan sebuah pesan dari Puan Nisah Haron, yang ketika itu merupakan guru kesusasteraan diri ini yang masih dalam bilik kuliah; “Ketika menghasilkan karya, penulis jangan ‘diganggugugatkan’ dengan kemungkinan kritikan akan datang. Cukuplah tugas kita ketika ini sebagai penulis. Berikan tugas mengkritik kepada orang lain.”
Perlu difahamkan di sini bahawa, mahu menjadi pengkritik sastera, biarlah ia berupaya meningkatkan kualiti karya hingga mengangkat bidang Kesusasteraan Melayu di kedudukan tinggi di persada keintelektualan.

Yang mana karya ditukangi oleh seseorang penulis itu mampu memaju untuk karya-karyanya yang mendatang. Justeru seorang pengkritik bukan sekadar pemikir, tapi punyai kecemerlangan dan ilmu pengetahuan dalam disiplinnya. Supaya pengisiannya bukan sekadar ‘omong-omong kosong’ yang berbaur prejudis, terpengaruhi emosi serta dorongan kemahuan dipandang ‘rebel’. Mengolah dengan bahasa yang sedap dengan pautan kata-kata indah semata tanpa semantik yang patut, tidak berteori dan beretika, kritikan itu terlihat dangkal dan berbau ‘jelik’. Bukanlah ingin disuakan kepada para pengkritik dengan kebergantungan pada teori-teori atau pendekatan tertentu dalam ilmu kesusasteraan semata-mata. Tetapi seorang pengkritik sudah semestinya wajib punyai pengetahuan sahih tentang hal yang ingin diperkatakan. Demikian sebuah kritikan yang dilontarkan itu, biarlah adunan idealogi dan sudut pandangnya dipagari pendekatan yang diiktiraf oleh pengkaedahan dan disiplin ilmu itu sendiri. Bahkan, pengutaraan teori semata-mata tanpa penghujahan pendapat pengkritik juga menjadikan sesebuah kritikan itu tidak kritis. Pokoknya harus seimbang.

Ada pun bentuk-bentuk kritikan sastera (karya) yang memperlekehkan gaya penulisan seseorang dalam karyanya, hanyalah kerana tidak sesuai dengan ‘selera’ (taste) pengkritik semata, tanpa penjelasan kukuh dengan landasan ilmu, ia juga dalam penggolongan kritikan ‘lemah’. Ah, paling ‘melucukan’ atau tidak keterlaluan jika ia disebut ‘biadab’ apabila adanya gaya kritikan individu yang mengkritik keperibadian penulis, bukannya corak pemikiran, garapan isi kepengarangan, latar belakang (masyarakat, masa dan tempat), linguistik, gaya serta laras bahasa, strukturalisme mahupun dokonstruksi. Dibidas satu per satu nilai peribadi penulis dengan menegur perihal-perihal sikap dan perilaku (yang kononnya melalui pengamatan. Ya, pengamatan semata!), kemudian tanpa segan silu menggolongkan idea/esei tersebut sebagai ‘sebuah kritikan sastera’. Aduh, amalan gaya kritikan begini perlu dihentikan segera kerana yang dirobek-bincangkan bukanlah nilai kesusasteraan dalam karya-karya, akan tetapi menjurus kepada ‘orang yang menulis’.

Bahkan berkesempatan di sini, mahu disarankan buat pengkritik yang berpegang pada pendekatan ini; lakukanlah ‘tafakur’ sejenak sepaya dapat kembali pada landasan yang benar. Jika diteruskan sikap ini, tidak mustahil yang diangkat sebagai Sasterawan Negara suatu masa kelak hanyalah golongan yang mengejar ‘pangkat’ Sasterawan Negara itu sendiri, di sebalik kasus budaya ini. Iaitu individu yang menonjolkan diri cumalah atas kelantangan suara bidasan kritikan secara peribadinya, yang berkelompongan motifnya itu tersorok pula dek tabir kata-kata puitis; tetapi tidak langsung disuap idealisme yang didahagakan pendamba ilmu penggiat bidang sastera sewajarnya. Kritikan yang merosak nilai pembangunan kualiti keilmuan inilah dikatakan pembidaah kritikan sastera. Gaya kritikan berlebih-lebihan, sementara pula menggadaikan nilai profesionalis diri tanpa sedar. Lebih memburuk lagi jika kritikan semberono yang menimbulkan kasus bidas-membidas melalui ‘ketiadaanpengkajian’ secara rinci begini semakin hidup dalam dunia kepengarangan. Akhirnya yang menjenamai bidang kesusasteraan di mata generasi mendatang, bukanlah pembangunan jiwa, tapi perkelahian polemik yang tidak menyumbang apa-apa makna untuk perkembangan ilmu kesusasteraan dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :