Pengunjung meluangkan masa melihat lukisan selepas majlis perasmian Pameran Sembuh di UiTM Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bangunkan muzium seni, rancak semula sektor pelancongan pascawabak

SHAH ALAM, 27 JULAI: Selangor akan membangunkan muzium seni bagi memperkukuh potensi pelancongan dan merancakkan semula sektor itu pascapandemik Covid-19.

Menurut Dato’ Menteri Besar, antara projek pemacu yang dikenal pasti ialah pembangunan Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (SAMA) bawah kluster pelancongan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut yakin tarikan terbaharu itu mampu menarik pelancong dalam dan luar negara untuk menyaksikan kehebatan seniman negara dan Asia Tenggara.

“Selangor mempunyai banyak daya tarikan berkaitan sektor pelancongan untuk ditawarkan dalam daerah di negeri ini sekali gus memperkukuh potensi pelancongan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Bercakap ketika membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) hari ini, beliau berkata Selangor turut melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri 2021-2026 bagi merangsang semula industri itu.

Jelasnya, ia juga bagi menangani kesan pandemik yang memberi dampak besar kepada sumber pendapatan dan pekerjaan berkaitan sektor tersebut dalam tempoh dua tahun sejak 2020.

“Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri dalam industri pelancongan di rantau ini dengan kekayaan budaya. Ia merupakan salah satu penyumbang terpenting kepada ekonomi negara.

“Semasa pandemik, pertumbuhan sektor ini terjejas dengan mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 72 peratus pada tahun 2020,” kata Amirudin lagi.


Pengarang :