Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media selepas melancarkan program Baucar Halal Selangor 2022 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor belum terima laporan kerugian akibat gangguan elektrik

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri belum menerima laporan kerugian yang dialami akibat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Lembah Klang, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau akan mendapat maklumat berkenaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam tempoh terdekat.

“Saya belum terima maklumat dan saya akan dapatkan TNB secepat mungkin selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Secara keseluruhan ia sudah kembali pulih. Saya cuma nak anggaran kerugian, adakah terhenti operasi dan saya rasa TNB akan lakukan kajian itu nanti,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada Selangor mengalami kerugian akibat kejadian semalam.

Ditanya sama ada beliau mahu TNB memberi potongan harga kepada pelanggan yang terkesan akibat kejadian berkenaan, Amirudin berkata ia terpulang kepada agensi itu.

“Terpulang kepada TNB… saya tak nak ‘jump to conclusions’ biar kita tengok sepenuhnya. Paling penting bagaimana memastikan bekalan elektrik secara berterusan ia cabaran yang paling besar,” katanya.

Semalam, beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk di sini mengalami gangguan bekalan elektrik.

Lokasi lain yang turut terjejas antaranya Cheras, Subang, Ampang, Kepong, Hartamas dan Bukit Damansara berdasarkan aduan pengguna.

Masalah sama turut dialami di Kota Bharu, Kelantan; dan Kuantan, Pahang berdasarkan rungutan pengguna media sosial.


Pengarang :