Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman meninjau sekitar kawasan loji rawatan air di Labohan Dagang, Banting pada 28 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tarif bekalan air domestik Selangor, KL, Putrajaya kekal

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pelarasan tarif bekalan air berkuat kuasa pada 1 Ogos tidak melibatkan pengguna domestik, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman menjelaskan kenaikan purata 20 sen bagi setiap meter padu (m3) hanya membabitkan pengguna bukan domestik dan kategori khas.

“Pengguna domestik tidak akan terkesan selari dengan pengumuman perdana menteri pada 24 Jun,” katanya dalam kenyataan pada 27 Julai.

“Kenaikan purata 20 sen bagi setiap meter padu air ini adalah satu jumlah yang berpatutan bagi operator air untuk memberikan perkhidmatan bekalan air terawat yang bersih dan selamat kepada pengguna komersial secara berterusan.”

Pelaksanaan tarif baharu susulan keputusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Mekanisme Penetapan Tarif yang dibangunkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Shuhaimi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan KASA bagi mengambil tindakan sewajarnya untuk melaksanakan pelarasan tarif berkenaan.

“Ini adalah untuk memastikan agar para pengguna yang terlibat mendapat maklumat yang tepat serta pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air yang lancar.

“Sebagai operator air, pelarasan tarif bekalan air yang selari dengan peredaran masa dan keperluan ekonomi semasa adalah kritikal dalam memastikan perkhidmatan dan operasi optimum yang dapat mendukung pembangunan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.

Suhaimi juga berkata pelarasan ini hanya dilaksanakan setelah 16 tahun iaitu sejak tarif bekalan air disemak pada tahun 2006 bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sepanjang tempoh ini, perbelanjaan modal (Capex) bagi Air Selangor adalah terhad untuk menyenggara dan menambah baik asetaset bagi kesejahteraan para pengguna,” katanya.


Pengarang :