Pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Klang mengibarkan Jalur Gemilang pada program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pendidikan bentuk jati diri, fikiran matang

GOMBAK, 1 OGOS: Pendidikan penting untuk membentuk karakter dan pemikiran sihat individu, bukan sekadar jaminan mendapat pekerjaan semata-mata.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, menuntut ilmu juga penting bagi membentuk modal insan selain membina sahsiah dan jati diri.

“Perlu ditekankan bahawa pendidikan bagi membentuk karakter, pemikiran yang sihat dan matang. Ia akan membentuk karier atau masa depan,” katanya pada program Jelajah Selangor Penyayang di sini semalam.

Mengulas isu kewangan punca ramai tidak melanjutkan pengajian, beliau berkata negara mempunyai sokongan pendidikan mencukupi untuk membantu keluarga berpendapatan rendah.

“Cuma mentaliti perlu diubah. Diri sendiri dan keluarga perlu dan mempunyai keinginan untuk mengubah situasi itu,” kata Amirudin lagi.

Lapan insentif digariskan dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi memperkasa pendidikan seawal peringkat kanak-kanak antaranya Skim Bantuan Tadika Selangor dan Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar.

Turut dilaksana, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor, Pusat Tuisyen Rakyat, Bantuan Sekolah Selangor, Iltizam Mahasiswa Selangor, Peduli Siswa, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor.


Pengarang :