AGENSISELANGOR

Rancangan Selangor Pertama: Rakyat beri respon positif, mahu lebih penerangan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari pada 27 Julai lalu mendapat sokongan rakyat dan dilihat mampu menjana ekonomi negeri yang lebih kukuh.

Peniaga, Mohd Fatih Achmad Fatoni berharap perancangan negeri yang menyeluruh termasuk tumpuan membangunkan kawasan dan ekonomi luar bandar berjaya dilaksana.

“RS-1 dilihat sebagai satu platform yang bagus dalam mencapai kemajuan untuk lokasi yang terpilih tetapi rancangan yang dilaksanakan itu mesti telus dan ada ‘check and balance’.

“Sebagai orang Kuala Selangor saya ingin melihat kawasan ini menjadi destinasi pelancongan yang terkenal. Diharap ada peruntukan bagi membaiki infrastruktur sedia ada dan perbanyakkan lagi kemudahan awam,” katanya.

Peguam, S Sivanesamalar pula berpandangan RS-1 adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat khususnya golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, banjir besar dan kesan kenaikan harga barang.

“Perancangan lebih RM200 bilion ini menunjukan Kerajaan Negeri membelanjakan kembali keuntungan kepada rakyat.

“RS-1 juga memberi fokus untuk pertumbuhan ekonomi, memperdayakan lagi rakyat, menjaga kebajikan serta menaikan taraf sistem perkhidmatan yang lebih cekap,” katanya.

Pekerja swasta, Najmi Zulfadhli Muda pula berharap Kerajaan Negeri dapat menguar-uar lagi maklumat berkaitan RS-1 kerana pada pandangan beliau masih ramai lagi belum mengetahui rancangan ini.

“Sejujurnya ini pertama kali saya dimaklumkan mengenai RS-1. Secara sepintas lalu berdasarkan makluman dan berita yang ditunjukan wartawan ia adalah satu perancangan yang baik buat negeri.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat membuat program bersama rakyat dan berikan lebih pendedahan mengenai RS-1 kerana bukan semua rakyat mengetahui apa itu RS-1,” katanya.

Juruteknik, John Ooi berkata beliau bersetuju apa jua perancangan untuk negeri sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat.

“Apa sahaja perancangan yang baik untuk rakyat perlu disokong cuma perlu dijelaskan dengan lebih terperinci

“Libatkan juga rakyat dalam memberi pandangan agar apa yang dilakukan itu seiring dengan kehendak rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.

Amirudin berkata berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :