Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Empat teras RS-1 tentukan projek pembangunan negeri berkesan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Empat teras strategik yang dirangka dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) penting bagi melihat keberkesanan projek pembangunan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan yang julung kali dibentang meletakkan tadbir urus sebagai kerangka dengan memuatkan tempoh draf dan rantaian pelaksanaannya.

“Dalam buku RS-1 muka surat 198 hingga 205, telah disiapkan tempoh draf dan rantaian bagaimana proses pelaksanaan daripada pembuatan dasar di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor kepada jawatankuasa diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kepada sektor-sektor.

“Untuk ekonomi dikendalikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), sosial diketuai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), kelestarian alam sekitar diurus pengarah UPEN manakala tadbir urus pula diurus bahagian pengurusan SUK,” katanya.

Beliau bercakap ketika menggulungkan usul RS-1 yang disokong oleh wakil rakyat dan diluluskan Speaker Ng Suee Lim pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan ekonomi dibentang Amirudin pada 27 Julai lalu mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.


Pengarang :