EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor kaji cadangan sedia perkhidmatan khusus kutip sisa kitar semula

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan menyediakan perkhidmatan khusus bagi kutipan sisa kitar semula dari seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO alam sekitar menjelaskan pelaksanaan tersebut harus diteliti berikutan kos diperlukan agak tinggi selain menimbulkan beban kepada pihak berkenaan.

“Jika mahu buat pengasingan sampah di rumah perlu ada pusingan kutipan sisa kitar semula yang spesifik dan tidak boleh dicampur aduk dengan sisa lain.

“Kutipan sampah sekarang dibuat tiga kali seminggu oleh PBT, jika ditambah (pusingan kutipan) maka akan membebankan mereka. Jadi kita akan kaji semula perkara ini,” kata Hee Loy Sian menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sebelum itu, Daroyah meminta perincian berhubung perancangan Kerajaan Negeri memastikan sasaran 30 peratus rakyat mengamalkan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) tercapai.

Mengulas lanjut, Loy Sian mengakui tahap kesedaran masyarakat di negara ini terhadap program itu masih rendah, namun Selangor menumpukan usaha mendidik pelajar sekolah melalui pelbagai program dan inisiatif.

“Paling penting adalah pupuk kesedaran kepada murid dan tadika melalui program dijalankan supaya mereka dapat membiasakan diri buat pengasingan sampah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan program 3R di Selangor tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

“Memang Kerajaan Negeri menekankan kepada usaha tersebut, sebahagian di bawah PBT dan selebihnya lagi portfolio saya. Cuma kita mahu lihat di kerajaan pusat.

“Sebelum itu mereka ada buat program pengasingan sampah di rumah, tetapi projek ini gagal kerana sikap manusia yang masih jauh ketinggalan mengenai kitar semula,” katanya.


Pengarang :