EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim meninjau kolam penternakan ikan air tawar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Batangsi, Semenyih pada 7 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

12 taman makanan jana hampir 30,000 tan metrik hasil pertanian setiap tahun

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak 29,276 tan metrik hasil pertanian disumbangkan oleh 12 kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Selangor setiap tahun.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata ia membabitkan pelbagai sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman industri dan kontan dengan pulangan berjumlah RM43.3 juta.

“Seramai 363 peserta menyertai projek tanaman di bawah Jabatan Pertanian Negeri Selangor dengan keluasan 1,351.45 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Ir Izham turut memaklumkan sehingga kini semua TKPM terbabit masih aktif dan tiada projek terbengkalai kecuali di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

“Taman dengan keluasan 57 hektar dihentikan pelaksanaannya selama dua tahun kerana kawasan itu terlibat dalam projek Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 3000,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kawasan tanah untuk pertanian di negeri ini berkurangan sebanyak 5.3 peratus berbanding jumlah keseluruhan 298,548 hektar pada 2012.

“Ketika ini, kawasan tanaman padi di Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah seluas 18,610 hektar, selain terdapat 13 TKPM dengan keluasan 1,086 hektar, TKPM ternakan (622 hektar) dan TKPM akuakultur termasuk kebun kerang (5,171 hektar).

“Justeru, adalah dicadangkan supaya sejumlah 79,574 hektar iaitu 10 peratus daripada keluasan tanah di Selangor dikekalkan sebagai kawasan pertanian makanan,” katanya lagi.


Pengarang :