Antara sebahagian daripada 40 karya yang ditampilkan dalam Pameran Endemik yang berlangsung sejak 3 hingga 24 Ogos di Galeri Shah Alam. Foto Facebook VAD Unisel
AGENSISELANGOR

Tampil 40 karya, Pameran Endemik di Galeri Shah Alam berlangsung hingga 24 Ogos

SHAH ALAM, 5 OGOS: Orang ramai dipelawa mengunjungi Pameran Seni Visual Endemik yang berlangsung sejak kelmarin hingga 24 Ogos di Galeri Shah Alam di sini.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pameran yang dibuka sepanjang Isnin hingga Jumaat dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang hanya boleh dikunjungi secara janji temu.

“Sebanyak 40 karya menarik dipamerkan daripada 21 pensyarah dari Jabatan Seni Visual Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (Unisel),” katanya menerusi kenyataan.

“Karya yang berasaskan pengalaman serta perjuangan fizikal, emosi dan mental bagi menangani fenomena pandemik mempengaruhi pengkarya dalam penggunaan elemen dan cuba mengekalkan kenangan.”

Menurutnya, pameran berkenaan sesuai bagi peminat seni yang mahu meneroka suasana kedamaian terhadap objek realistik berdasarkan alam persepsi dan pengalaman akal.

“Oleh itu, semua karya yang dipamerkan menekankan ciri ketenangan dan pada masa sama menyembunyikan rahsia tersirat di sebalik karya tersebut,” katanya.

Pameran anjuran Pensyarah Jabatan Seni Visual Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (Unisel) dengan kerjasama Galeri Shah Alam akan dirasmikan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pada 9 Ogos.

 


Pengarang :