Badang negara Mohammad Aniq Kasdan menunjukkan pingat emas yang dimenanginya menerusi kategori 55 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Atlet angkat berat Mohamad Aniq fokus kumpul mata ke Sukan Olimpik 2024

SEPANG, 7 OGOS: Kejayaan meraih emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi pembakar semangat buat badang negara Mohamad Aniq Kasdan untuk terus mempersembahkan aksi terbaik bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu optimis mampu mengapai impiannya untuk beraksi di pentas berprestij itu buat julung kalinya dengan berkat kesungguhan berlatih bersama jurulatih Yon Haryono selain prestasi semasa yang ditonjolkan beliau.

“Selepas ini memang (saya) akan fokus menyertai lima atau enam kejohanan antarabangsa untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik dan saya yakin sekiranya mampu memantapkan disiplin diri, sudah pasti mampu ke sana (Sukan Olimpik) nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi Mei lepas itu turut memaklumkan Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember ini akan menjadi medan pertamanya mencipta magis bagi merekodkan mata pertamanya.

Pada 30 Julai lepas, Mohamad Aniq menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas pertama negara di Birmingham menerusi kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan seberat 249kg (snatch 107kg, clean & jerk 142kg).

– BERNAMA


Pengarang :