Peserta Selangor melepaskan wau bagi kategori pecut pada Pertandingan Wau Kapal di Padang Taman Sri Andalas, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGOR
ADNSELANGOR

Reka bentuk, corak tarik minat kanak-kanak 12 tahun sertai pertandingan wau

KLANG, 7 OGOS: Kanak-kanak berusia 12 tahun antara peserta termuda pertandingan wau kapal anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini hari ini.

Solihin Abdullah, 12, dari Jejarom berkata minat bermain wau dan menyertai pertandingan itu bermula sejak dia berusia tujuh tahun lagi kerana kerap mengikut bapa tirinya, Mohd Aliff Aiman.

Solihin Abdullah

“Ayah selalu ajak jadi lama kelamaan saya suka dan minat. Wau ni ‘best’ sebab reka bentuknya cantik dan bila kita tarik tali tu rasa berat dan mencabar,” katanya kepada Selangorkini.

Solihin dari pasukan Layang Kapal Selangor antara 100 pasukan wau yang menyertai pertandingan di Padang Taman Sri Andalas di sini.

Sementara itu, Zaid Shafie, 36, dari pasukan Geng Dapur mengakui Selangor paling aktif mengadakan pertandingan wau berbanding negeri-negeri lain.

“Saya berasal dari Kelantan dan bermain wau ini sejak kecil. Ada banyak perbezaan macam di Kelantan kita main untuk suka-suka pada waktu petang tetapi di sini ada pertandingan.

Zaid Shafie

“Nikmat bermain wau ni penggemarnya sahaja tahu. Kelajuan wau membuatkan kami rasa ingin main wau hari-hari,” katanya.

Bagi Bahrain Osman, 61, yang datang dari Teluk Intan, Perak kerana rasa ‘cinta’ pada wau menyebabkan dia sanggup datang ke sini bagi memeriahkan pertandingan.

“Ni bukan kali pertama tetapi sudah empat, lima kali saya datang ke Selangor untuk masuk bertanding.

“Selain masuk bertanding saya juga jual buluh untuk membuat wau kepada peminat wau. Ada buluh minyak, mata rusa, tikus dan beberapa jenis buluh yang lain,” katanya dari pasukan Intan Fly.


Pengarang :