SHAH ALAM, 8 OGOS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) melantik 138 syarikat sebagai rakan strategik bagi membantunya melahirkan lebih ramai usahawan.
Pengurus Kanan Korporat Azrul Aziz berkata menerusi pelan transformasi yang dilaksana sejak setahun lalu, program menunjukkan kesan memberangsangkan dengan lebih 200 usahawan dapat dibantu.
“Pelan ini melibatkan pelbagai sektor antaranya peruncitan, pertanian dan teknologi. Syarikat penaraju ini membuka peluang untuk usahawan menyertai mereka selain memberi latihan, pemasaran dan bimbingan.
“Setakat ini Hijrah sudah mengeluarkan lebih RM6 juta bagi membolehkan rakan strategik membantu usahawan. Dalam masa sama program turut mengembangkan perniagaan syarikat terlibat,” katanya kepada SelangorKini.
Azrul berkata sejak Jun, pihaknya mempeluaskan insentif dengan menawarkannya kepada syarikat yang sudah mempunyai nama supaya proses diperingkat pemasaran lebih mudah.
“Bila syarikat sudah ada nama, ia dapat tarik lebih ramai usahawan. Jadi kepada mana-mana peniaga terutama yang terkesan dengan Covid-19 boleh terus menghubungi Hijrah untuk menyertai skim ini,” katanya.