Sebahagian kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RS-1 bantu lebih ramai anak Selangor dapat makanan sihat

SHAH ALAM, 9 OGOS: Lebih ramai kanak-kanak negeri ini bakal menikmati makanan bernutrisi apabila program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) diperluas dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Penasihat kesihatan awam Selangor berkata agihan pek asasi untuk tempoh 2021 hingga 2025 juga mampu membantu mengatasi masalah bantut dan kekurangan berat badan kelompok sasaran.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rusli, seramai 720 orang menerima manfaat setakat ini meliputi susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin bagi penyerapan kalsium dan menguatkan tulang.

“Jika tidak diambil langkah berjaga-jaga boleh beri kesan kepada pembesaran mereka.

“ASAS wajar diberikan di seluruh pelusuk negeri dan jika diizinkan tingkatkan peruntukan bagi memanfaat secara terus anak-anak Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha Kerajaan Negeri juga membolehkan penerima bantuan mendapat kemudahan perubatan lebih baik kerana ia diselaras dengan inisiatif lain.

“Mereka boleh bertemu pakar perubatan, pakar nutrisi dan makanan sihat serta berkualiti, bermakna anak Selangor menikmati banyak bantuan,” kata Dr Mohammad Farhan lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan RS-1 pada 27 Julai mengumumkan program ASAS akan diperluas ke seluruh negeri bagi mengatasi kekurangan zat kanak-kanak.

 


Pengarang :