Pengunjung melawat ladang ternakan di Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 9 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MAHA 2022: Lebih 100,000 kunjungi Pavilion Selangor, program dijaya dapat sambutan

SERDANG, 9 OGOS: Lebih 100,000 individu mengunjungi Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) sejak 4 Ogos lalu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor Aiada Abdul Rashid berkata sambutan diterima menggalakkan dengan pelbagai aktiviti diadakan antaranya program pertanian, teknologi tanaman dan ternakan.

“Malah, kita secara khusus mengumpulkan 300 produk daripada 50 usahawan di bawah program Selangor Agro Market di Pavilion Selangor.

“Kita kumpul semua produk usahawan ini dan menjualnya dengan berkonsepkan perniagaan runcit sekali gus dapat memperkenalkan produk mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor Aiada Abdul Rashid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan berangkat mengunjungi Pavilion Selangor bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah tiba kira-kira 9.15 pagi.

Ketibaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

MAHA 2022 bermula pada 4 hingga 14 Ogos merupakan pameran pertanian terbesar dan berprestij yang menghimpunkan 1,500 gerai pempamer dengan potensi nilai jualan lebih RM250 juta.

Sebanyak lapan laman disediakan antaranya pertanian dan penternakan selain menampilkan 22 segmen dengan tarikan tersendiri.


Pengarang :