AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemulihan capai 84 peratus, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 8 malam

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pemulihan bekalan air di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mencapai 84 peratus sehingga 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh pemulihan bekalan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air di kesemua 397 kawasan yang terlibat di tiga wilayah Air Selangor dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 8 malam ini,” kata syarikat itu di Facebook.

Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang berpunca daripada kemalangan di KM75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur pada Selasa.

Berikutan itu, bantuan air alternatif menggunakan lori tangki digerakkan kepada pengguna terutama di premis kritikal bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :