Jelas terpancar kegembiraan pada wajah anak-anak ini apabila dapat kembali semula ke sekolah. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor bantu enam beradik asnaf sambung belajar

SHAH ALAM, 12 OGOS: Hasrat lima beradik bersekolah seperti rakan seusia lain tercapai apabila mereka semua berjaya didaftarkan ke sekolah dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS berkata hasil kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor anak-anak daripada keluarga asnaf itu dapat meneruskan persekolahan di tingkatan empat, dua, darjah enam, empat dan dua.

Tambah agensi itu, pihaknya turut bantu anak sulung keluarga berkenaan mendaftar ke Kolej Antarabangsa INPENS untuk menyambung pengajian.

“Laporan menyatakan anak-anak keluarga ini tidak ke sekolah kerana ibu bapa mereka kurang berkemampuan untuk menanggung kos yuran dan mempunyai tanggungan yang ramai.

“Oleh itu, LZS, PPD dan pihak sekolah mengambil inisiatif untuk bantu menguruskan hal persekolahan anak-anak ini,” katanya di Facebook.

LZS bersama penghulu mukim, e-Kasih, PPD, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak sekolah dan ketua kampung turun padang menziarahi keluarga berkenaan pada Rabu lalu.

Susulan lawatan tersebut, keluarga berkenaan menerima bantuan kewangan, makanan dan persekolahan secara bulanan daripada pihak LZS dan beberapa agensi terlibat.


Pengarang :