Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi menyerahkan komputer riba kepada wakil pelajar daripada keluarga B40 di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNSELANGOR

DUN Kota Anggerik peruntuk RM15,000 beli komputer riba bagi pelajar B40

SHAH ALAM, 12 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik memperuntukkan dana RM15,000 bagi membeli komputer riba untuk kegunaan pelajar kurang berkemampuan (B40) tahun ini.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata daripada jumlah itu sebanyak 10 unit komputer riba sudah diserahkan kepada pelajar terbabit di pusat khidmat masyarakatnya, semalam.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam kalangan B40 selain memberi semangat kepada pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah, inisiatif ini akan diteruskan demi memastikan tiada mana-mana pelajar di DUN Kota Anggerik tercicir dalam pelajaran,” katanya ketika dihubungi.

Najwan turut menasihati pelajar berkenaan supaya menggunakan kemudahan itu dengan sebaik-baiknya.

“Jangan sesekali menggunakan komputer riba ini untuk perkara yang membuang masa sebaliknya gunakan ke arah yang positif. Saya berdoa agar anak-anak ini berjaya dengan cemerlang suatu hari nanti,” katanya.


Pengarang :