Pengunjung tertarik dengan model rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Ekspo Hartanah Malaysia Shah Alam/Kuala Selangor 2022 di Central i-City, Shah Alam pada 12 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 2,300 rumah mampu milik ditawar di MAPEX 2022 

SHAH ALAM, 12 OGOS: Lebih 2,300 rumah mampu milik ditawarkan kepada pengunjung Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Shah Alam/Kuala Selangor 2022 di Central i-City.

Pengerusi MAPEX Loo Chee Yang berkata Kuala Langat dan Sepang adalah antara lokasi rumah mampu milik yang ditawarkan iaitu pada harga bermula RM100,000 dan ke atas bagi setiap unit.

Loo Chee Yang

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) adalah salah satu pempamer yang menawarkan rumah mampu milik. Bukan itu sahaja, kita juga menawarkan apartmen pada harga RM315,000 dengan diskaun 10 peratus di Bangi.

“Menerusi ekspo ini, pelbagai tawaran istimewa disediakan termasuk pakej kewangan bukan sahaja melibatkan rumah mampu milik tetapi juga jenis kondominium, teres dan rumah bandar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian MAPEX Shah Alam/Kuala Selangor 2022 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Selangor Datuk Zaini Yusoff.

MAPEX Shah Alam/Kuala Selangor 2022 anjuran Rehda Selangor itu berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam melibatkan 17 pempamer.

Antara agensi Kerajaan Negeri yang terlibat dalam pameran adalah LPHS dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


Pengarang :