Pemilik kelab komedi Mohamad Rizal Johan Van Geyzel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kelab komedi kontroversi ditutup terus, pemilik disenarai hitam daftar lesen niaga

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pemilik Kelab Komedi Crackhouse disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di ibu negara.

Menurut timbalan menteri wilayah persekutuan, keputusan oleh Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuat kuasa 30 Julai lalu, lapor Berita Harian.

“Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Pada 10 Julai, DBKL menggantung sementara operasi kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail itu kerana didapati tidak mempunyai lesen hiburan antara 2014 hingga 2017.

Sebelum ini, pengasas dan pemilik bersama kelab terbabit Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video menyentuh sensitiviti kaum.

Pada 13 Julai, Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama selepas videonya tular menanggalkan baju kurung dan tudung di kelab komedi berkenaan.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.


Pengarang :