EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (empat, kiri) bergambar bersama peserta bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada 17 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN
AGENDANASIONAL

EXCO: Enakmen warta khazanah sejarah dibawa ke sidang DNS akan datang

KLANG, 17 OGOS: Kerajaan Selangor akan membawa usul enakmen pewartaan khazanah bersejarah pada sidang Dewan Negeri Selangor akan datang.

Menurut EXCO kebudayaan dan warisan, enakmen berkenaan membolehkan Kerajaan Negeri mewartakan sendiri bahan sejarah tanpa perlu melalui Jabatan Warisan Negara.

“Selangor berbeza dengan Melaka iaitu mereka sudah memasukkan enakmen hak mewartakan (bawah Kerajaan Negeri). Sebaliknya Selangor perlu memohon Jabatan Warisan dan kemudian meminta izin dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum diwartakan.

“Oleh demikian, kita akan bawa isu ini dalam dewan untuk dibahas. Jika ada hak mewarta memudahkan kerana Jabatan Warisan juga banyak yang perlu dijaga, seluruh Malaysia,” kata Borhan Aman Shah dalam sidang media di sini, hari ini.

Panel berbincang bersama peserta ketika bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 17 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK). Bengkel siri kedua itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertuanya Elya Marini Darmin.

Berucap ketika merasmikan bengkel berkenaan, Borhan turut menggalakkan agensi Kerajaan Negeri memartabatkan warisan Selangor dalam sebarang penganjuran majlis.

“Contohnya agensi memperkenal nasi ambeng yang sudah diwartakan sebagai identiti Selangor dalam meraikan tetamu berbanding menu lain seperti nasi minyak. Mereka juga boleh membawa penggiat seni cempuling untuk membuat persembahan.

“Selangor mempunyai identiti sendiri dan jika bukan agensi Kerajaan Negeri mempromosinya siapa lagi. Kita khuatir jika tidak menerapkannya generasi akan datang melupakan warisan bersejarah ini,” katanya.


Pengarang :