Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lima projek tebatan banjir bernilai RM4.7 bilion bakal dibina di Selangor

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion bagi pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan pembinaan lima projek tebatan bagi mengelakkan kejadian banjir daripada berulang.

“Antara projek penting yang akan dilaksanakan adalah lima projek tebatan banjir di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion.

“Usaha ini akan segera dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di perkarangan Stadium Shah Alam di sini.

Ismail Sabri berkata peruntukan RM4.7 bilion itu adalah sebahagian daripada dana RM6.3 bilion yang sudah diluluskan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua Tahun 2022 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


Pengarang :