Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad diiringi oleh Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Mohd Helmi Dato’ Mohd Yusof (kanan) menyantuni peniaga Pasar Budaya Borneo MBSJ di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 20 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hampir 3,000 peniaga di kawasan MBSJ sertai platform digital negeri

SUBANG JAYA, 20 OGOS: Hampir 3,000 peniaga sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyertai Platform Selangor (PLATS) bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali berkata jumlah berkenaan melibatkan kumpulan peniaga pasar pagi, pasar malam, bazar dan medan selera.

“MBSJ giat mempelawa peniaga kecil untuk sertai platform digital ini bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

“Kami juga turun memperkenalkan PLATS ke 20 lokasi pasar malam serta 13 pasar pagi supaya ramai peniaga sertai,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri program ‘walkabout’ Pasar Budaya Borneo di Seri Kembangan di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad dan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Dalam majlis sama, Masdiana yang juga isteri Dato’ Menteri Besar turut menyerahkan tawaran PLATS kepada 54 peniaga pasar berkenaan.

Selain itu, semua peniaga berkenaan turut menerima manfaat Data Internet Selangor bagi memudahkan urusan ketika menggunakan platform berkenaan.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Setakat ini, platform maya berkenaan disertai 14,470 peniaga dengan kira-kira 10,000 mendaftar tahun lalu.

Individu berminat menyertai platform berkenaan boleh mendaftar menerusi laman sesawang www.platselangor.com


Pengarang :