Kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dinaiki air hampir satu meter susulan hujan lebat sejak jam 4 petang pada 20 Ogos 2022 .Foto Facebook Nik Syukriah Amin
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Taman Sri Muda dinaiki air, bomba bawa dua bot pantau keadaan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kawasan Taman Sri Muda di sini mula dinaiki air lebih 0.7 meter petang ini susulan hujan lebat sejak jam 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 4.55 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Berdasarkan laporan awal di sekitar Taman Sri Muda didapati paras air semakin naik dengan kedalaman lebih 0.7 meter.

“Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan air belum memasuki kediaman lagi. Malah, belum ada mangsa yang dipindahkan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Norazam, sebagai langkah berjaga-jaga dua bot digerakkan ke Taman Sri Muda.

“Walaupun keadaan masih terkawal, tetapi cuaca agak membimbangkan kerana hujan tidak menentu.

“Oleh demikian, kita bawa dua bot bersama satu jentera dengan tujuh anggota ke lokasi sebagai persediaan awal dan meneruskan pemantauan,” katanya.


Pengarang :