Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong ketika beraksi menentang pemain India Lakshya Sen pada perlawanan akhir badminton Sukan Komanwel 2022 di National Exhibition Center, Birmingham pada 8 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Kejohanan dunia: Tze Yong singkir juara Masters Malaysia

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pemain perseorangan lelaki negara  Ng Tze Yong memulakan cabaran di kejohanan badminton dunia dengan langkah kanan apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua, sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun, Tze Yong cemerlang menyingkirkan juara Masters Malaysia dari Indonesia Chico Aura Dwi Widoyo 21-16, 21-10 dalam aksi pusingan pertama, lapor portal Berita Harian.

Tze Yong akan berdepan pemenang perlawanan antara pemain Jepun Kanta Tsuneyama dan Sitthikom Thammasin dari Thailand bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.

Pemain berusia 22 tahun itu hadir di Tokyo dengan motivasi tinggi susulan kejayaannya mencipta kejutan memenangi pingat perak saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain membantu skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran.

Di Birmingham, pemain kelahiran Johor itu dua kali berjaya mengatasi bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth ketika final berpasukan campuran dan separuh akhir saingan individu.

Sebelum itu, dia turut mengatasi juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir saingan individu.

Dalam aksi final individu, Tze Yong terlepas emas selepas tewas di tangan naib juara Seluruh England dari India, Lakshya Sen.


Pengarang :