AGENDANASIONAL

Gagal sedia tempat tinggal selesa pekerja, majikan dikompaun RM12.4 juta

SHAH ALAM, 22 OGOS: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM12.4 juta hasil 1,083 kertas siasatan ke atas majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Mohd Asri Abdul Wahab berkata ia susulan pemeriksaan dilakukan pihaknya sejak Februari 2020 membabitkan 48,579 majikan dan 183,391 penginapan, lapor portal Berita Harian.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 40 peratus atau 19,250 majikan didapati gagal mematuhi Akta 446 dengan 148 kertas siasatan dikenakan tindakan pendakwaan yang membabitkan denda RM1.2 juta.

“Alasan majikan adalah sukar mendapat kebenaran pembinaan. Permohonan sudah dilakukan namun belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya selepas mengadakan operasi khas penginapan dan asrama pekerja di Taman Perindustrian Bukit Bakri, Muar hari ini.

Mohd Asri berkata JTKSM sedia membantu majikan sekiranya mereka mempunyai masalah termasuk perkara berkenaan penginapan pekerja.

Mengulas operasi hari ini, beliau berkata sepanjang dua jam pemeriksaan bermula 10.30 pagi, sejumlah 528 pekerja diperiksa di dua premis.

“JTKSM difahamkan pekerja di kedua-dua premis berkenaan disediakan penginapan atau asrama jenis binaan batu dan zink yang mana kita sudah pun melihat asrama itu yang disediakan majikan.

“Penginapan pekerja berkenaan tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTKSM dan majikan masih belum membuat sebarang permohonan,” katanya.

Beliau berkata, JTKSM masih melakukan siasatan terperinci terhadap majikan serta kawasan penginapan berkenaan dan jika gagal mematuhi Akta 446, mereka boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM50,000 untuk setiap kesalahan.

 


Pengarang :