Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari (tengah) mengetuai delegasi Selangor melawat syarikat APA Bilgi Teknolojileri di Angkara, Turki pada 22 Ogos 2022. Lawatan Selangor bagi meneroka peluang pelaburan serta ruang kolaborasi dalam beberapa industri utama termasuk aeroangkasa disambut Pengerusi APA Bilgi Teknolojileri Sulayman Adanur (dua, kiri) . Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor bakal kembangkan industri aeroangkasa bersama Turkiye

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan Negeri bakal mengembangkan prospek industri aeroangkasa di Selangor menerusi peluang pelaburan serta kolaborasi bersama syarikat simulator penerbangan Turkiye.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu susulan nilai pelaburan industri berkenaan yang amat signifikan di Sepang dan Subang yang menyumbang 65 peratus daripada keseluruhan sektor aeroangkasa Malaysia.

“Komitmen ini diperkukuhkan melalui visi yang terangkum dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menunjukkan kesalinghubungan antara industri aeroangkasa dan TVET yang sangat akrab,” tulis Dato Seri Amirudin Shari di Facebook, hari ini.

“Ini terzahir dalam lawatan ke APA Bilgi Teknolojileri di Ankara yang berjaya mencapai beberapa kata sepakat dalam mengembangkan prospek industri aeroangkasa di Selangor,” katanya yang turut menjelaskan APA Bilgi merupakan penyedia utama simulator penerbangan dan kawalan trafik udara (ATC) di Turkish Airlines.

Amiruddin menambah, berkat penyertaan syarikat berkenaan dalam Pameran Penerbangan Selangor 2021, Kerajaan Negeri berjaya menarik minat mereka untuk melabur di Selangor dengan kerjasama HM Aerospace menerusi penubuhan Pusat Latihan Simulator Pesawat Moden.

“Kami turut disantuni oleh Pengerusi APA Bilgi Sulayman Adanur dan pasukan beliau. Tambah menarik rupa-rupanya beliau adalah Presiden Persatuan Usahawan dan Birokrat pasukan bolasepak terkemuka Turkiye, Trabzonspor FC.

“Pasukannya mantap dan berjaya menjadi Juara Turkiye Super League pada musim yang lepas. Walau bagaimanapun, saya akan tetap setia dengan pasukan Liverpool dan Selangor FC,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari mengetuai delegasi Selangor melawat Pusat Latihan Turkish Airlines di Istanbul, Turki pada 22 Ogos 2022. Foto Facebook Amirudin Shari

Menurutnya, delegasi Kerajaan Negeri juga sempat melawat Pusat Latihan Turkish Airlines di Istanbul dan komponen simulator mereka ternyata berada pada kelas tersendiri.

“Insya-Allah, sesuatu akan terhasil di Selangor melalui kerjasama ini kelak,” katanya lagi.


Pengarang :