Pemilik Rumah Merdeka Aminah Abu Bakar menghias halaman rumahnya di Kampung Morten, Melaka dengan Jalur Gemilang. Sekurang-kurangnya 100 Jalur Gemilang pelbagai saiz digunakan untuk menghiasi rumah serta halaman bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wanita teruskan legasi ibu hias Rumah Merdeka

MELAKA, 24 OGOS: Setiap kali menjelang Ogos, seorang wanita akan meneruskan legasi ibunya sejak lebih 50 tahun lalu menghias landskap dan rumah dengan hiasan patriotik.

Pemilik Rumah Merdeka di Kampung Morten Aminah Abu Bakar, 71, berkata setiap tahun kediamannya menjadi tumpuan pelancong yang teruja dengan hiasan bendera pelbagai saiz sempena Bulan Kemerdekaan, lapor Utusan.

“Arwah ibu yang mulakan dulu kerana dia suka menghias rumah dengan pelbagai bendera setiap kali masuk bulan Ogos.

“Saya bersama adik-beradik lain akan membantu ibu dan lama-kelamaan terbit minat yang sama,” katanya yang mengakui tidak kekok untuk meneruskan usaha ibunya apatah lagi rumah tradisi itu dianggap antara ikon pelancongan di Melaka.

“Saya tidak pernah jemu untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara. Semangat ini juga saya terapkan kepada cucu yang berusia setahun hingga sembilan tahun dan mereka turut teruja menyambut Bulan Kemerdekaan.”

Ketika ini, Aminah berkata beliau sedang mengumpul wang kira-kira RM1,500 untuk mengecat semula bendera gergasi yang semakin luntur catnya.

Menurutnya, bendera yang perlu dicat setiap dua tahun itu sudah tiga tahun tidak dibaik pulih dan ia merupakan antara tarikan pengunjung ke kediaman berkenaan.

“Baru-baru ini, ada pihak datang beritahu mereka akan beri peruntukan untuk mengecat semula bendera gergasi.

“Setelah menunggu hampir dua minggu masih tiada perkembangan menyebabkan saya nekad guna wang sendiri saja,” katanya.


Pengarang :